Tuesday, May 15, 2012

Sayembara Setahun

CINTA PANDANG PERTAMA MEMBAWA KE JENJANG PELAMIN


KUALA LUMPUR, 14 Mei - 'Cinta Pandang Pertama' adalah ungkapan yang sesuai untuk ditujukan kepada pasangan yang sedang mengecapi kebahagiaan dari Bandar Tasik Selatan.
           
Mula diijabkabulkan pada 1 Mei 2011, pasangan ini menyifatkan kejujuran dan kesetiaan adalah tunjang utama dalam sesebuah perhubungan. Tanpa kejujuran, hubungan menjadi porak peranda dan sentiasa berada dalam keadaan yang mencurigakan. Tanpa kesetiaan pula, hubungan menjadi dingin dan faktor cemburu boleh mengundang. Hakikatnya, pasangan ini juga pernah melalui detik yang paling sukar dalam hubungan mereka.

"Benda lepas tidak perlu dikenang, sekurang-kurangnya dugaan itu menguatkan hati kami," ujar Azira, 29. Celah Effendi, "Azira adalah wanita terbaik yang saya kenali sejak 7 tahun yang lalu".



Menjalin hubungan cinta sejak 2005 sewaktu Effendi menjalani Latihan Industri di tempat kerja lama Azira iaitu di sebuah syarikat swasta di Setapak, KL. Bibit - bibit cinta mula timbul apabila kerlipan pertama Azira yang menambat hati membuatkan Effendi merasakan ' Nur' di wajah Azira.

"Setelah diselidiki, isteri saya ini mempunyai perwatakan yang menarik berbeza dari rakan-rakan wanita Universiti saya yang lain. Dia mempunyai ciri-ciri muslimah. Saya yakin untuk meraih cintanya, maka selepas selesai Latihan Industri, saya memberanikan diri mengatakan yang saya amat menyukainya dan selepas itu hubungan kami mula serius. Saya bersyukur kerana saya tidak bertepuk sebelah tangan," kata Effendi, 30 sambil disambut hilaian tawa oleh isterinya yang berasal dari Terengganu itu.

"Abang mengambil masa yang lama kira-kira 5 bulan sehinggalah selesai praktikalnya, kerana beliau tidak mahu timbulkan kontroversi cinta di pejabat, yang mana boleh menjejaskan prestasinya sebagai pelajar," celah Azira. Tambahnya lagi, " Dalam tempoh 5 bulan itu, saya pelik juga kenapa beliau asyik memandang ke arah saya, walau berubah tempat duduk kerjanya, dan setiap kali terserempak dengan saya, beliau seolah-olah malu-malu, membuatkan saya juga malu-malu, " ujarnya sambil ketawa mengenangkan kisah lalu.

Mereka mengikat tali pertunangan pada Okt 2009, memandang selepas berkenalan, Effendi masih lagi belajar dan belum mempunyai kerja tetap. "Selepas mendapat kerja tetap, barulah saya meminang Azira supaya kehidupan berkeluarga terjamin," kata Effendi yang bertugas sebagai pegawai di badan berkanun.

Mereka merancang untuk bernikah pada Jun 2010, namun atas sebab-sebab tertentu mereka menangguhkan perkahwinan sehinggalah Mei 2011.

"Saya bersyukur kerana abang mengotakan janjinya untuk mengahwini saya, maklumlah agak lama kami bercinta. Sebagai wanita, saya mengharapkan sebuah hubungan yang tulus suci, saya berharap abang tidak mengabaikan saya dan mensia-siakan hubungan ini, " ujar Azira yang gemar memasak di kala lapang.


Sempena ulangtahun perkahwinan yang pertama ini, Effendi yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur menghadiahkan sesuatu yang istimewa untuk isterinya. Bila ditanya, katanya, "Rahsia" sambil disambut senyuman Azira. Mereka memilih Cherating sebagai lokasi 1st anniversary honeymoon. 

Ditanya tentang Cahayamata, adakah pasangan ini merancang, seraya Azira yang berkhidmat sebagai penolong pegawai di sebuah jabatan kerajaan di Cheras berkata, "Kami tidak merancang, jika dikurniakan Allah s.w.t dalam waktu terdekat, kami terima dan bersyukur sangat-sangat. Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan saya terlalu inginkannya. Saya dan suami tidak sabar hendak menimang bayi. Maklumlah sudah setahun kami berkahwin. Saya berharap Allah s.w.t mengamanahkan rezeki itu kepada kami."

Memandangkan pasangan ini sudah lama berkenalan, kami menjangkakan mereka sentiasa bahagia dan tidak bermasalah, tetapi ditepis oleh Effendi. "Kami seperti pasangan yang lain juga, jangankan lidah boleh tergigit, inikan pula suami isteri," ujar Effendi mengakhiri perbualan.

Kami mendoakan pasangan ini sentiasa dirahmati Allah s.w.t, dikurniakan rezeki dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

No comments: